Wednesday, November 27, 2013

Hidup Sihat | 4 Golongan Manusia

Sebagaimana yang diketahui sesungguhnya menjaga kesihatan merupakan sebahagian dari tuntutan agama. Namun, ramai di kalangan kita yang mengabaikannya sehingga mereka ditimpa pelbagai penyakit kronik yang boleh membawa maut. 

Artikel kali ini saya ingin bermuhasabah tentang beberapa jenis golongan manusia dalam menjaga kesihatan.

Fokus utama ialah dua perkara asas untuk memperoleh fizikal yang sihat iaitu faktor bersenam atau bersukan dan faktor pemakanan. Berdasarkan pemerhatian dan pengalaman hidup saya terdapat 4 golongan :

1) Golongan Sangat Cakna & Obses Menjaga Kesihatan  |  Mereka ini golongan yang sangat prihatin tentang cara untuk mendapat kesihatan yang sempurna.

Mereka menjaga pemakanan dan berpantang serta berusaha sedaya upaya menghindari makanan yang boleh memudaratkan seperti lemak, makanan berminyak dan berkolesterol tinggi.

Mereka juga menjadikan amalan bersenam sebagai rutin kehidupan mereka sekurang-kurangnya 3-5 kali seminggu. Mereka memilih untuk pergi ke gym atau beriadah di taman-taman awam, berenang, membersihkan halaman rumah, berkebun dan seumpamanya.

Tidak dinafikan amat sukar untuk meletakkan diri dalam golongan yang terbaik ini. Kebanyakan orang boleh istiqamah bersukan namun tewas dengan godaan pemakanan. Itulah saya : ). 

Tidak ramai yang mampu berada dalam kumpulan ini. Antara golongan dalam kumpulan ini ialah individu yang terlibat dengan sukan bina badan. Pemakanan mereka sangat ketat dan terbatas. Mereka juga amat berdisiplin dalam senaman kardio atau senaman pemberat untuk membina otot-otot badan.

2) Golongan ini istiqamah dalam bersukan sekurang-kurangnya 2-4 kali seminggu namun mereka kurang cakna dalam pemakanan  |  Golongan yang kedua ini lebih ramai daripada yang pertama. 

Mereka bersenam namun merembat apa sahaja makanan tanpa memperdulikan makanan yang masuk ke dalam perut. Kebanyakannya mengandungi lemak, minyak, gula dan garam berlebihan serta tinggi kolesterol. Asalkan halal dan lazat. 

Bukan senang hendak menjaga diet kerana budaya pemakanan orang melayu tidak menjurus kepada diet sihat. Menjadi kebiasaan sarapan dengan menjamah nasi lemak, nasi berlauk, roti canai ditambah pula dengan minuman manis seperti teh tarik. 

Minum petang pula dihidang dengan pisang goreng, keropok goreng atau cekodok. Namun golongan ini masih beruntung kerana ada juga ruang untuk mengimbangi  pemakanan negatif tersebut dengan melibatkan diri dengan aktiviti berpeluh seperti bersenam. 

Mudah-mudahan senaman akan dapat mengatasi tabiat buruk diet tanpa sempadan.

3) Golongan ini tidak bersenam, tidak suka bersukan dan tiada langsung aktiviti berpeluh |  Golongan yang ketiga tidak jauh beza dengan golongan kedua cuma tukar tabiat. 

Dengan kata lain mereka golongan ‘kaki bangku’. Walaupun mereka tidak bersukan namun keistimewaan golongan ini ialah mereka menjaga pemakanan.

Mereka cerewet dalam pemilihan makanan. Hanya makanan yang menyihatkan sahaja mereka sentuh dan dimasukkan ke dalam mulut.

Mereka juga senang berpuasa sekurang-kurangnya tiga hari dalam sebulan kerana tidak mudah tergoda dengan nafsu makan. Puasa juga menyumbang dalam memperoleh badan yang sihat. 

Golongan ini masih lagi dalam kumpulan yang selamat dan tahu nilai amanah menjaga kesihatan.

4) Golongan yang tidak menjaga amanah Allah dalam menjaga kesihatan. Tidak menjaga pemakanan dan langsung tidak bersenam | Golongan ini merupakan yang paling teruk. 

Semua jenis makanan dirembat tanpa bertapis. Golongan ini sesuai dinamakan dalam golongan ‘hidup untuk makan’ bukannya ‘makan untuk hidup’. Mereka juga tidak pernah bersenam dan langsung tiada aktiviti berpeluh.  

Malah menganggap semua itu hanya membuang masa. Nauzubillah. Semoga kita semua tidak termasuk dalam golongan ini.

Tidak pelik atau tidak perlu terkejut kalau golongan ini akan berdepan dengan pelbagai penyakit kronik yang boleh mengundang maut seperti masalah jantung, buah pinggang, kencing manis, darah tinggi dan lain-lain.

Pepatah Arab yang terkenal menyatakan “Mencegah lebih baik daripada mengubati”. Sebelum kita ditimpa penyakit yang tidak diingini lebih baik berhati-hati.

Jika kita tidak mampu menempatkan diri kita ke dalam golongan terbaik iaitu golongan pertama, maka letakkanlah diri dalam golongan kedua atau ketiga. 

Jangan sekali-kali mengamalkan cara hidup golongan yang keempat kerana kita akan menyesal satu masa nanti bila disahkan oleh doktor menghindapi penyakit-penyakit tertentu.

Tanyalah diri sendiri. Muhasabah diri kita sendiri. 

Diri kita dalam golongan yang mana satu? 
Sekiranya Kumpulan 1, anda hebat. 
Kalau Kumpulan 2 & 3, anda selamat. 
Alangkah malangnya kalau diri anda dalam Kumpulan 4. 




-------------------------------------
ANDA BOLEH & MESTI BERUBAH.
===================
Fikirkan tentang isteri dan anak-anak. Sanggupkah anda menjadi punca isteri anda yang masih muda menjadi janda atau anak-anak yang masih kecil bertukar status kepada anak yatim.

Ajal maut sememangnya hak mutlak Allah namun semuanya akan mengikut asbab musabbab. Budaya amalan hidup sihat asbab umur panjang dan begitulah sebaliknya.

Bersama-sama kita berusaha untuk menjaga kesihatan agar dapat beribadat dengan lebih sempurna dan khusyuk. 

Wallahu A’lam.

No comments:

Post a Comment