---------------------
Kenali Enjin @ Jantung Anda
==============
# Jantung organ yang pertama berfungsi. Ia mula berdenyut
ketika janin di dalam kandungan berusia hanya empat minggu. Jantung terbentuk
sepenuhnya apabila usia janin meningkat ke lapan minggu dan saiz janin
sepanjang 2.5 cm.
# Saiz jantung dewasa besar sedikit daripada genggaman
tangan. Beratnya pula antara 300 gram dan 400 gram atau seberat satu tin
minuman ringan.
Jantung terletak di bahagian tengah dada antara kedua-dua
paru-paru dan bukan di bahagian kiri seperti disangka ramai. Apeks jantung yang
menyentuh bahagian kiri dada membuatkan kita merasai denyutan jantung di
bahagian itu. Ini menjelaskan salah tanggapan orang ramai mengenai kedudukan
jantung.
# Proses pengaliran darah badan meliputi jantung yang
bertindak sebagai pam dan sistem saluran darah yang kompleks membabitkan aorta,
arteri, vena dan kapilari, iaitu saluran darah halus yang menghubungkan arteri
dan vena.
Saiz aorta hampir sama saiz hos air yang biasa digunakan di
kebun & saiz kapilari pula 10 kali ganda lebih kecil daripada sehelai
rambut.
Jika disambung semua saluran darah ini, panjang sistem ini
hampir 100,000 kilometer atau bersamaan jarak mengelilingi dunia lebih dua
kali!
# Jantung berfungsi secara automatik. Ia tidak seperti
sebahagian besar organ badan kita yang dapat dikendalikan menurut kehendak
kita. Contohnya apabila mahu berjalan, kita gerakkan kaki.
Jika mahu bercakap, kita keluarkan bunyi melalui kotak suara
dan gunakan pergerakan mulut dan lidah untuk menghasilkan bunyi tertentu.
Jika kita mahu menahan nafas seketika, kita hentikan
pergerakan otot dada dan diafragma.
Ini semua tindakan dan pergerakan yang boleh dikawal.
Jantung adalah berlainan. Ia tidak boleh ‘menurut perintah’. Kita tidak boleh
hentikan pergerakan jantung walaupun seketika kerana ia terus berdenyut secara
automatik tanpa henti hingga berakhirnya hayat seseorang itu.
# Darah mengalir melalui jantung dalam satu arah saja.
Proses ini boleh terjadi dengan adanya empat injap di dalam jantung. Apabila
injap terbuka, ia memberi laluan kepada darah untuk mengalir keluar dari satu
bahagian jantung ke bahagian jantung yang lain.
Apabila injap ini tertutup, ia menyekat pengaliran darah ke
belakang. Mekanisme penutupan injap ini menghasilkan bunyi degupan jantung
“lub-dub” yang didengar oleh doktor ketika menggunakan stetoskop.
Masalah boleh timbul jika injap menjadi sempit atau bocor
akibat penyakit seperti demam reumatik atau endokarditis.
# Arteri koronari pula adalah saluran darah di permukaan
jantung yang membawa oksigen dan nutrien dari aorta ke otot jantung. Koronari
berasal daripada perkataan Latin ‘korona’ dan Yunani ‘koron’ yang bermaksud
mahkota atau ‘crown’ di dalam Bahasa Inggeris.
Ini kerana arteri koronari yang mengelilingi permukaan
jantung dilihat seolah-olah seperti mahkota yang terletak di atas kepala.
Jika arteri koronari ini tersumbat secara tiba-tiba dan
aliran darah tidak sampai ke otot jantung, ini mengakibatkan serangan jantung
yang berpunca daripada kerosakan teruk otot jantung.
# Satu-satunya fungsi jantung ialah sebagai pam untuk
menghantar darah yang kaya dengan oksigen dan nutrien ke seluruh badan.
Selepas itu darah yang kurang beroksigen kembali ke bahagian
kanan jantung melalui satu litar yang kompleks sebelum disalurkan ke paru-paru
untuk diperkayakan semula dengan oksigen.
Darah ini kemudian kembali ke bahagian kiri jantung untuk
dipam ke seluruh badan. Satu pusingan peredaran darah di litar ini mengambil
masa lebih kurang 23 saat. Ini bermakna darah membuat pusingan mengelilingi
litar ini sebanyak lebih kurang tiga kali dalam masa satu minit.
<3 Jantung adalah organ yang sangat kuat dan bertenaga.
Sebagai demonstrasi, ambil sebiji bola tenis dan genggam sekuat mungkin. Inilah
anggaran tenaga yang digunakan oleh jantung setiap kali ia mengepam darah ke
seluruh badan.
Jantung berupaya menghasilkan tekanan yang boleh memancutkan
darah sejauh 10 meter setiap kali ia mengecut. Walaupun ketika seseorang itu
berehat, otot jantung bekerja dua kali ganda lebih keras daripada otot kaki
seorang yang berlari pecut.
Dalam tempoh 1 jam, tenaga kerja yang dihasilkan oleh
jantung boleh mengangkat barang seberat hampir 1,400 kilogram setinggi 30
sentimeter. Ini seumpama berat dua kereta Perodua Kancil. Tenaga yang dijanakan
jantung sepanjang hayat seseorang pula boleh mengangkat satu kapal perang besar
keluar dari air.
Begitulah kekuatan jantung kita. Bagaimanapun, seseorang
akan mengalami penyakit lemah jantung apabila jantung gagal berfungsi
secukupnya sebagai satu jentera untuk mengepam darah ke seluruh badan.
Antara sebab utama bagi kelemahan jantung adalah kerosakan
teruk pada otot akibat serangan jantung.
# Setiap kali berdenyut, jantung mengepam darah sebanyak 70
mililiter, di mana lebih kurang lima liter darah dipam dalam tempoh satu minit.
Ini bermakna untuk tempoh satu jam pula, 300 liter darah, dan di dalam satu
hari lebih kurang 7,200 liter darah dipam jantung kita.
Sepanjang hayat seorang manusia, jantung mengepam lebih
daripada satu milion tong darah. Ini cukup untuk mengisi dan memenuhi kapasiti
tiga kapal tangki minyak yang besar!
# Jantung tidak tahu erti penat. Jantung terus berdenyut
sama ada anda bekerja atau tidur. Ketika anda berehat, jantung tidak berehat.
Ia tetap berdenyut antara 60 dan 80 kali dalam tempoh satu minit.
Kadar ini menurun apabila usia kita meningkat. Secara
purata, jantung berdenyut hampir 100,000 kali sehari, dan lebih kurang 2.5
bilion kali sepanjang hayat, tanpa rehat, walaupun untuk seketika.
Tidak mungkin ada alat atau mesin yang diperbuat oleh
manusia boleh menandingi kehebatan jantung kita. Alangkah bertuahnya kita
mempunyai ‘alat’ kurniaan Tuhan yang sungguh menakjubkan ini.
Sekarang ambil tangan anda dan letak di tengah dada. Tanya
diri sendiri, apa perlu anda lakukan hari ini untuk memastikan jantung anda
mendapat penjagaan yang terbaik.
Peliharalah jantung anda dan belailah ia dengan penuh
kasih-sayang kerana ‘si jantung hati’ inilah yang akan menjaga anda sehingga
akhir hayat.